Selasa, 25 Julai 2017 | 1:15pm
NORASHIKIN bersama Kumpulan Zero, Firman AF dan sebahagian artis yang membuat persembahan. - Foto Malai Rosmah Tuah

20,000 serbu Temuduga Terbuka SL1M di UMS

KOTA Kinabalu: Ada yang sanggup menaiki bas hampir sehari suntuk semata-mata menghadiri Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, sekali gus menggambarkan pentingnya program itu kepada graduan dan lepasan sekolah di Sabah.

Bagi lepasan UMS bidang sains fizik dan elektronik, Mohd Azfar Mohamed, 23, yang datang dari Kampung Telisai, Tungku di Lahad Datu, perjalanan jauh dari kampung ke bandar Lahad Datu, dengan menaiki bas yang mengambil masa hampir 12 jam, sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk hadir ke program itu.

Beliau bersama rakan tiba sehari lebih awal bagi menyertai program di Dewan Canselor UMS pada Sabtu dan Ahad lalu, berharap kehadiran awal membawa tuah dalam temu duga diadakan, seterusnya diambil mengikuti latihan ditawarkan.


SUASANA di tapak program Temuduga Terbuka SL1M di Dewan Canselor, UMS di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Bantu graduan cari kerja

Mohd Azfar menyertai temu duga dengan PETRONAS dan syarikat telekomunikasi, CELCOM dan Telekom Malaysia Berhad, berpendapat program sebegini sesuatu yang amat diperlukan dalam membantu graduan di Sabah yang berdepan masalah mencari kerja.

Katanya, beliau tidak kisah bidang yang ditawarkan, sama ada di Sabah atau tempat lain, tidak mengharapkan ganjaran yang tinggi, memadai sekiranya dibayar gaji RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Sementara itu, gadis bertahi lalat dan tompok hitam di seluruh badan, Evita Patcey Edgar Delmundo, 20, yang namanya popular selepas menyertai uji bakat Miss Universe Malaysia 2018, baru-baru ini, juga hadir mencuba nasib dalam bidang spa dan kecantikan serta penjagaan (nursing).

Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kelahiran Kota Kinabalu ini masih menunggu keputusan melanjutkan pengajian itu turut mencuba peluang menyertai syarikat dalam bidang pengeluaran.

"Saya meminati bidang spa dan nursing. Saya tidak malu mencuba nasib melalui program temu duga ini.

"Bagi saya, program ini sangat bagus kepada belia di Sabah," katanya.

Temuduga Terbuka SL1M peringkat Sabah kali ini disertai hampir 50 syarikat yang menawarkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan termasuk 10,000 pekerjaan, menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) di Johor.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata jumlah itu berdasarkan permintaan majikan yang memerlukan ramai pekerja untuk syarikat mereka.

"Mulanya kira-kira 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada program di Sabah ini, namun pihak IRDA di Johor mahu menawarkan sehingga 10,000 kekosongan dan ini menjadikan 15,000 peluang pekerjaan boleh direbut belia di negeri ini," katanya.


ANTARA peserta yang berjaya disenarai pendek oleh Malaysia Airports Holdings Berhad pada Temuduga Terbuka SL1M di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Sedia aktiviti sampingan

Penyediaan beberapa aktiviti sampingan, termasuk jualan pelbagai barangan menerusi gerai dan trak makanan di pekarangan Dewan Canselor UMS selain persembahan artis tempatan Faizal Tahir, Jimmy Palikat, Firman AF dan Kumpulan Zero Maharaja Lawak memeriahkan lagi program berkenaan.

Program itu mendapat sambutan 20,000 orang berbanding 10,000 sasaran awal turut diselitkan dengan aktiviti taklimat kerjaya dan sesi motivasi bagi menambah pengetahuan pencari kerja di Sabah. Sejak dilancarkan pada 1 Jun 2011, kira-kira 120,000 peserta berjaya dibantu menerusi program itu setakat 31 April lalu.

Fokus utama program kelolaan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu adalah membantu graduan dan lepasan sekolah yang belum mendapat pekerjaan, terutama mereka yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar.

  Peserta yang berjaya dalam sesi temu duga itu bakal menikmati pelbagai faedah khususnya pendedahan dan pengalaman kerja, manakala bagi majikan, ia bukan sahaja membolehkan mereka memilih pekerja berpotensi, malah menikmati insentif diberikan kerajaan seperti potongan cukai berganda.

 

Info

  • Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Sabah 2017.
  • Diadakan di Dewan Canselor UMS pada 22 dan 23 Julai.
  • 20,000 pencari kerja hadir temu duga.
  • Hampir 50 majikan dari seluruh negara mengambil bahagian.

  • 15,000 peluang pekerjaan ditawarkan.
  • 85 gerai niaga yang lengkap diberikan percuma kepada usahawan kecil menjana pendapatan
Berita Harian X