Isnin, 24 Julai 2017 | 10:07pm
NAJIB Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Dr Ahmad Zahid, Hishammuddin dan Tengku Marsilla dan Ahmad Razif (kiri) menjamu selera ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahananan di Dewan Seroja, Kem Kementah di sini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PM terima kejutan di MINDEF

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menerima kejutan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-64 ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitiri Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Dewan Seroja, Kem Kementah di sini, sebentar tadi.

Perdana Menteri yang ketika itu sedang menjamu selera bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dikejutkan apabila pengacara menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi' bersama tetamu yang hadir sebelum diminta untuk memotong kek.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan selaku tuan rumah pada majlis itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Najib yang lahir dilahirkan pada 23 Julai 1953 menyambut hari kelahirannya ke-64 tahun, semalam.

Terdahulu, Najib yang berpakaian kemeja batik berwarna biru tiba bersama Rosmah pada jam 8.40 malam.

Beliau disambut Hishammudin dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah.

Najib meluangkan masa selama hampir 40 minit beramah mesra dengan tetamu yang hadir dan melayan permintaan untuk bergambar sebelum beredar pada jam 9.20 malam.

Seramai kira-kira 10,000 tetamu hadir pada majlis yang bermula pada jam 8 malam itu terdiri daripada warga Kementerian Pertahanan, kepimpinan tertinggi kerajaan, ahli politik, editor media cetak dan elektronik, agensi kerajaan, serta orang awam.

Turut kelihatan pada majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Selain itu, hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman, juga hadir.

Tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah hari raya antaranya lemang, ketupat, satay, pasembor dan nasi beriani.

Berita Harian X