Isnin, 24 Julai 2017 | 2:08pm

Jumlah kes buli murid turun, terkawal

KUALA LUMPUR: Sistem Sahsiah Diri Murid merekodkan hanya 0.02 peratus murid terbabit dalam salah laku buli untuk tempoh Januari hingga Jun lalu.

Ia sekali gus menunjukkan pembabitan murid dalam buli menurun dan terkawal, berdasarkan statistik pada tahun 2012 hingga 2016 iaitu dari 0.08 peratus kepada 0.06 peratus.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Si Woon, berkata, berdasarkan rekod Sistem Pengurusan Isu Disiplin dan Pendidikan, tiada kes yang membabitkan kematian akibat perbuatan buli dalam kawasan sekolah dalam tempoh pada tahun 2012 sehingga sekarang.

Katanya, walaupun kes buli di sekolah secara relatifnya kecil, namun kementerian tidak pernah memandang ringan.

"Saya ingin tegaskan bahawa kes yang terbabit sudah diambil tindakan sewajarnya sama ada peringkat sekolah mahu pun pihak mahkamah melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sejak dahulu, kementerian serius menangani buli termasuk buli siber melalui mekanisme pencegahan, penguatkuasaan, peraturan sekolah, intervensi kepada mangsa dan kerjasama padu dengan semua pihak yang berkepentingan serta bersedia membantu agensi berkaitan memantapkan perundangan berkaitan kes juvanil di luar sekolah.

"Pihak sekolah diberi peringatan melalui surat pekeliling dan garis panduan mencegah serta menangani buli dalam kalangan murid. Pelbagai program kesedaran gejala buli dilaksanakan secara bersepadu di dalam kurikulum, kokurikulum dan pembinaan sahsiah, " katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berhubung jumlah kes buli yang direkodkan di sekolah dari tahun 2000 hingga sekarang sama ada terdapat kes yang mengakibatkan kematian ataupun kecederaan serius.

Berita Harian X