Sabtu, 22 Julai 2017 | 3:45pm

37,000 pelajar luar bandar manfaat tuisyen rakyat

JERANTUT: Lebih 37,000 calon SPM dan UPSR di luar bandar yang miskin berpeluang mengikuti tuisyen rakyat secara percuma di 550 pusat di seluruh negara.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) diiringi Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris (enam dari kanan) merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut. - Foto ROSELAN AB MALEK

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Beliau berkata, tuisyen rakyat itu diberi secara percuma kepada pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) miskin di luar bandar bagi meningkatkan akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan.

Katanya, mereka diberi pendedahan mengenai teknik belajar secara berkesan, mengulangkaji dan kaedah menjawab soalan peperiksaan dengan cepat dan betul.

"Program ini berjaya mencapai kejayaan apabila dapat membantu mempertingkatkan prestasi pelajar luar bandar dan pusat tuisyen rakyat ini diadakan secara berpusat di sekolah terpilih termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (depan, kanan) dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris bergambar bersama pelajar sekolah selepas merasmikan Program Tuisyen Rakyat @ Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Dewan Sekolah Menengah Padang Saujana. - Foto ROSELAN AB MALEK

"Sejak diadakan pada tahun 2013, seramai 37,925 pelajar sudah mengikuti program berkenaan yang mendapat bimbingan guru pakar MARA dan sekolah berhampiran," katanya pada sidang media selepas melancarkan Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Jerantut di SMK Padang Saujana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris

Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT) berkata, pihaknya mendapat kerjasama Pergerakan Puteri UMNO sebagai penyelaras bersama pusat tuisyen rakyat yang terpilih.

"Malah, ia juga turut mendapat perhatian syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad yang menaja sepenuhnya dua program tuisyen di MRSM Bentong, Pahang dan MRSM Lenggong, Perak bagi tahun ini," katanya.

Berita Harian X