Selasa, 3 Disember 2019 | 11:47am
Pengguna jalan raya melalui Lebuhraya Kota Bharu - Rantau Panjang kelihatan air dari Sungai Golok melimpah pada paras bahaya. - Foto Fathil Asri

Banjir Kelantan makin buruk

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 12,087 daripada 4,177 keluarga sehingga jam 10 pagi ini.

Mereka ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok dan Kuala Krai.

Maklumat bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, PPS di Jeli yang dibuka semalam, sudah ditutup sejak pagi tadi.

Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas terus meningkat kepada 7,933 daripada 3,053 keluarga di 29 PPS.

Mangsa banjir di Kuala Krai seramai 1,039 orang daripada 255 keluarga di 14 PPS. Manakala, Kota Bharu mencatatkan 733 mangsa daripada 209 keluarga di lima PPS dan Pasir Puteh seramai 826 mangsa daripada 219 keluarga di lapan PPS.

Tanah Merah membabitkan 606 mangsa daripada 164 keluarga di 12 PPS, Machang 152 mangsa daripada 43 keluarga di enam PPS dan Bachok mencatatkan 179 mangsa daripada 44 keluarga di dua PPS.

Manakala, jumlah mangsa di Tumpat seramai 619 orang daripada 190 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Berita Harian X