Isnin, 2 Disember 2019 | 5:03pm
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kedai Tanjung turut banjir kerana limpahan air dari Sungai Golok berikutan hujan yang turun selama enam hari tanpa henti di Kelantan. - Foto NSTP/Fathil Asri

Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 8,809, Tumpat daerah terbaru dilanda banjir

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,809 orang membabitkan 2,988 keluarga sehingga jam 4 petang ini.

Semua mereka ditempatkan di 82 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Jeli, Tumpat dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tumpat lokasi terbaru dilanda banjir hari ini selepas 203 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan Jalan Rantau Panjang Lama di Kampung Pohon Tanjung di tutup kepada semua lalulintas kerana limpahan air dari Sungai Golok berikutan hujan yang turun selama enam hari tanpa henti di Kelantan. - Foto NSTP/Fathil Asri

Pasir Mas mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 4,774 orang (1,906 keluarga) di 25 PPS. Mangsa banjir di Kuala Krai meningkat kepada 1,166 orang (288 keluarga) di 20 PPS.

Manakala, Kota Bharu mencatatkan 730 mangsa (211 keluarga) di lima PPS dan Pasir Puteh seramai 784 mangsa (206 keluarga) di lapan PPS.

Tanah Merah membabitkan 498 mangsa (142 keluarga) di 11 PPS, Machang 215 mangsa (65 keluarga) di enam PPS dan Bachok mencatatkan 260 mangsa (61 keluarga) di dua PPS.

Manakala, di Jeli 179 mangsa (45 keluarga) di dua PPS.

Berita Harian X