Jumaat, 29 November 2019 | 6:19pm
Najib memfailkan notis tunjuk sebab terhadap Lim Kit Siang dan Malay Mail serta wartawannya. - Foto BERNAMA

Najib fail notis hina mahkamah terhadap Kit Siang, wartawan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, mengemukakan notis tunjuk sebab terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Malay Mail dan wartawannya, Emmanuel Santa Maria.

Najib memfailkan notis terhadap ketiga-tiga pihak itu bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya mereka selaku responden memberikan sebab mengapa tidak boleh dipenjara atau didenda atas alasan menghina mahkamah.

Ia berikutan Najib mendakwa artikel diterbitkan di malaymail.com bertajuk “Kit Siang: High Court decision on Tanjung Piai by-election outcome will indicate where Malaysia headed toward” pada 9 November lalu adalah menghina mahkamah.

Artikel itu didakwa membabitkan komen terhadap perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Notis tunjuk sebab itu difailkan Najib selaku plaintif menerusi firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi pada 11 November lalu.

Melalui notis terbabit, Najib memohon perintah Notis Tunjuk Sebab di bawah Aturan 52, Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dikeluarkan terhadap ketiga-tiga responden.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib ketika ditemui pemberita, memberitahu sebutan kes itu dijalankan secara ex-parte (sebelah pihak) di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

Muhammad Shafee berkata, mahkamah belum memutuskan tarikh pengurusan kes seterusnya kerana pihaknya perlu membuat sedikit pembetulan dalam afidavit notis usul itu.

“Saya bagaimanapun tidak boleh mendedahkan perkara selanjutnya berkenaan prosiding dalam kamar,” katanya.

Najib mendakwa, kenyataan dikeluarkan dalam artikel itu bertujuan memberikan tekanan kepada mahkamah selain memberi ancaman dan mengganggu proses mahkamah.

Artikel disiarkan itu didakwa mengandungi ancaman dan intimidasi kepada mahkamah jika keputusan mahkamah memihak kepada plaintif (Najib).

Selain itu, ancaman dan intimidasi seperti ini juga dianggap sebagai campur tangan yang boleh mengalih perjalanan keadilan.

Pada 11 November lalu, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

Berita Harian X