Rabu, 27 November 2019 | 2:19pm
Najib hadir ke mahkamah bagi kes pindaan laporan Audit 1MDB yang dihadapi bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Najib minta perbezaan dua penyata kewangan 1MDB tidak dimasukkan dalam laporan audit

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta supaya isu perbezaan dua penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dimasukkan dalam Laporan Pengauditan akhir syarikat pelaburan strategik negara itu.

Bekas Perdana Menteri itu berjanji kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (kini bekas) bahawa pihak berkuasa yang berkaitan akan membuat siasatan menyeluruh secepat mungkin.

Najib memberikan janji itu pada satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Politik Najib Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Dalam pertemuan itu, Najib meminta Ambrin menjelaskan isu ketara dan serius dalam Laporan Pengauditan Akhir 1MDB.

Menurut Ambrin, beliau kemudian membangkitkan isu dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.

Ambrin (kanan) hadir ke mahkamah bagi kes pindaan laporan Audit 1MDB yang dihadapi Najib bersama Arul Kanda di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini, menjelaskan perbezaan itu membabitkan satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyatakan bahawa 1MDB sudah menggunakan dana yang diperoleh daripada pelaburan untuk membayar hutang syarikat dan digunakan untuk modal kerja.

Katanya, satu lagi versi ialah penyata kewangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deustche Bank dan Ambank yang menyatakan bahawa dana diperoleh daripada pelaburan masih lagi dalam simpanan 1MDB.

Ambrin berkata, pada 23 Februari 2016, beliau diarahkan Ali untuk hadir mesyuarat bersama pasukan khas audit 1MDB di pejabat KSN bagi membincangkan mengenai laporan akhir audit dan isu berkaitan.

Mesyuarat yang diadakan pada 24 Februari itu dihadiri Ali; wakil Pejabat Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Sri Dr Isa Hussain; wakil Kementerian Kewangan, Asri Hamidon; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; Setiausaha Sulit Kanan KSN, Datuk Norazman Ayob; dan Shukry.

Berita Harian X