Selasa, 26 November 2019 | 2:20pm

Bustari pulang wang RM3.6 juta dikaitkan dengan 1MDB

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Sarawak, Tan Sri Bustari Yusuf, memulangkan wang berjumlah RM3,683,117.94 kepada kerajaan Malaysia yang didakwa membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia berikutan pihak pendakwaan (pemohon) menarik balik permohonan lucut hak terhadap Bustari selaku responden.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai, mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah di sini, hari ini.

“Pihak SPRM menerima cek berjumlah RM3,683,117.94 daripada responden (Bustari), semalam,” katanya.

Perkara itu kemudian disahkan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Bustari, bahawa cek itu diserahkan kepada pihak SPRM semalam.

“Terima kasih kepada pihak pendakwaan kerana menarik balik permohonan lucut hak. Mohon permohonan lucut hak itu dibatalkan,” katanya.

Hakim kemudian membatalkan permohonan lucut hak berkenaan dan berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana mencapai persetujuan bersama.

Sementara itu, Allan ketika ditemui media di luar mahkamah, berkata minggu lalu peguam responden menghantar surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara untuk membayar jumlah RM3,683,117.94 kepada kerajaan.

“Representasi itu kemudian diterima oleh Pejabat Peguam Negara. Pihak kami menarik balik permohonan lucut hak dan mengarahkan akaun wang keseluruhannya berjumlah RM11.9 juta dinyah bekukan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Sebelum ini, wang berjumlah RM11.9 juta itu yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB, dibekukan oleh SPRM.

Pada 4 September lalu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah pewartaan notis kepada pihak ketiga disiarkan dalam kes lucut hak membabitkan tujuh pihak lain, namun tiada mana-mana pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta itu.

Tujuh pihak itu ialah Bustari, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Badan Perhubungan 0UMNO Negeri Selangor, Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Jakel Trading, Mediaedge Cia Malaysia Sdn Bhd dan Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM).

Berita Harian X