Khamis, 21 November 2019 | 2:51pm
Seorang lelaki meninggal dunia susulan kecederaan parah dialami dalam kemalangan di Kilometer 80 Jalan Kuching - Sri Aman. - NSTP/Ihsan PDRM

Maut selepas 7 jam bertarung nyawa

SERIAN: Selepas tujuh jam bertarung nyawa, seorang lelaki meninggal dunia susulan kecederaan parah dialami dalam kemalangan di Kilometer 80 Jalan Kuching - Sri Aman, di sini semalam.

Mangsa yang berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata dalam kemalangan jam 9.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Vigo.

“Akibatnya, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan kaki dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke HUS. Ketika kejadian, pemandu Toyota Vigo itu dalam perjalanan dari Sri Aman menuju ke Serian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kenderaan 4WD itu yang berusia 45 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tidak berhenti ketika keluar dari persimpangan jalan. Malah, hasil siasatan juga mendapati mangsa dikatakan tidak memakai topi keledar,” katanya.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X