Khamis, 21 November 2019 | 11:58am

Polis nafi ibu bapa mangsa rogol tarik balik laporan

TAWAU: Polis menafikan penjaga kepada pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa rogol tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di sini, menarik balik laporan polis yang dibuat pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan setakat ini tiada mana-mana individu yang tampil berbuat demikian.

Beliau juga menegaskan, polis tetap meneruskan siasatan sehingga selesai, sama ada laporan polis yang sudah dibuat sebelum ini ditarik balik ataupun sebaliknya.

“Polis turut menjalankan siasatan secara terperinci berhubung dakwaan video seks dan gambar mangsa bersama suspek yang dikatakan dirakam pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan kononnya ibu bapa pelajar perempuan berumur 14 tahun itu menarik balik laporan berhubung kes rogol membabitkan tujuh pelajar lelaki sebuah sekolah, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, mangsa yang juga pelajar di sekolah sama, ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek, manakala empat lagi bertindak melakukan seks oral, serta seorang lagi suspek hanya melihat perbuatan enam rakannya itu.

Semua suspek ditahan direman pada hari yang sama selepas laporan polis dibuat ibu mangsa pada jam 3.30 petang, manakala mangsa pula dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebaik saja tempoh reman tamat pada Ahad lalu bagi membolehkan mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan berakhir 28 November ini.

Berita Harian X