Selasa, 19 November 2019 | 3:35pm
KETUA Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas (dua dari kiri), menyampaikan Sijil Penghargaan kepada salah seorang anggotanya sempena perhimpunan bulanan IPD Tawau 2019. NSTP/Abdul Rahemang Taiming.

Polis nafi ada rakaman video pelajar kes rogol

Pic Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi termasuk kononnya ada rakaman video aksi tujuh pelajar Tingkatan Lima disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di sini, Jumaat lalu.

Terbaru, rakaman video kejadian rogol itu dikatakan tular di media sosial selain laporan sebuah portal berita yang mengaitkan video itu dikatakan diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, bagaimanapun menafikan pihaknya ada menerima rakaman video berkenaan.

“Setakat ini kita (polis) tidak ada menerima rakaman video berkaitan kejadian rogol terbabit.

“Bagaimanapun, kita ada membuat rampasan telefon bimbit milik mangsa dan semua suspek. Pasukan Teknikal dan Forensik sedang menjalankan siasatan terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di IPD berkenaan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 10 anggota polis pangkat rendah menerima kenaikan pangkat manakala 36 lagi termasuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah atas pencapaian cemerlang masing-masing dalam menjalankan tugas.

Dalam pada itu, Peter menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana kes jenayah terutama membabitkan remaja atau kanak-kanak di bawah umur.

“Kita mengambil kira masa hadapan mereka. Oleh itu, masyarakat di luar sana jangan membuat sebarang spekulasi sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua di sekolah sama, ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek, manakala empat lagi bertindak melakukan oral seks sementara seorang lagi suspek hanya melihat perbuatan keji enam rakannya itu.

Berita Harian X