Ahad, 17 November 2019 | 9:42pm
Seorang pelajar perubatan ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan perpustakaan sebuah universiti swasta di Sungai Petani. - NSTP/Muhamad Mustakim Ramli

Pelajar perubatan maut jatuh bangunan

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar perubatan ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat empat perpustakaan sebuah universiti swasta, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa iaitu lelaki berusia 19 tahun berasal dari Pulau Pinang ditemui pelajar lain selepas terdengar bunyi mangsa terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata mangsa maut selepas dipercayai mengalami kecederaan serius pada bahagian belakang kepala, selain kaki kiri mangsa terdapat kesan melecet.

“Siasatan awal mendapati mangsa pelajar semester pertama dan baru empat bulan belajar perubatan di sini, di mana dia sebelum ini juga pelajar foundation (pra universiti) di sini.

“Keputusan sebelum ini cemerlang iaitu 3.85. Kita juga sudah semak dengan pihak pentadbiran dari segi yuran dan sebagainya. Namun pelajar ini tiada apa-apa masalah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti mengapa pelajar itu naik ke tingkat empat iaitu kawasan penyelenggaraan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Adzli berkata, beliau sudah bertemu dengan keluarga mangsa dan berdasarkan maklumat, bapa mangsa ada menghubungi pelajar itu pada jam 2.30 petang tadi.

“Keluarga sepatutnya bertemu dengan mangsa hari ini untuk menghantar baju serta rantai.

“Namun pada jam 3.30 petang keluarga mendapat panggilan berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada pelajar itu mengalami tekanan atau tidak susulan difahamkan esok mangsa akan menduduki ujian.

“Saya ada bertanya beberapa pelajar dan ada antara mereka melihat pelajar ini menaiki tangga seorang diri sebelum kejadian.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Berita Harian X