Rabu, 13 November 2019 | 6:05pm

Pembantu tadbir TAPEM dipenjara 584 tahun, sebat 146 kali

AYER KEROH: Bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dijatuhi hukuman penjara 584 tahun dan 146 sebatan, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas 146 pertuduhan membabitkan kes pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta.

Bagaimanapun, tertuduh akan hanya menjalani hukuman penjara empat tahun dari tarikh jatuh hukum semalam, apabila semua hukuman berkenaan dijalankan secara serentak dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hanafi Ismail, 31, yang berdiri di kandang tertuduh selama hampir dua jam, sebaik tertuduh membuat pengakuan bersalah apabila jurubahasa selesai membacakan semua pertuduhan dan fakta kes terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir dan mempunyai penguasaan harta, iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri ini melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta terbabit, apabila dengan curang menyalahgunakannya.

Kesalahan itu dilakukan secara berperingkat antara 23 Januari 2017 hingga 21 Disember tahun lalu, membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.404 juta.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Unit Kewangan TAPEM di Bangunan Kota Cemerlang, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, yang memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan jumlah direkodkan tinggi, yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar golongan asnaf lebih layak.

Malah, katanya, tiada sebarang baki daripada akaun itu dapat dipulangkan atau berjaya dirampas oleh SPRM.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi.

Mengikut fakta kes, dia yang ketika itu bertugas sebagai kerani dengan lantikan kontrak perjawatan pembantu tadbir, menyalahgunakan harta dengan memasukkan peruntukan biasiswa pelajar ke dalam pelbagai akaun bank miliknya, perniagaannya, rakan dan keluarga sepanjang tempoh berkenaan.

Mohd Nasir dalam penghakimannya menegur tertuduh supaya bertaubat dengan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan dan memulangkan wang yang diseleweng itu kepada kerajaan Malaysia jika ada, kerana dalam al-Quran ada menyebut, mengambil harta anak yatim adalah haram dan berdosa besar.

Tertuduh ditahan reman oleh SPRM pada 12 Januari lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan dan didakwa di mahkamah sama, atas pertuduhan sama, pada 28 Oktober lalu.

PEGAWAI SPRM mengiringi Mohd Hanafi Ismail selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas 146 pertuduhan membabitkan kes pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X