Selasa, 12 November 2019 | 9:03pm
Wanita warga emas terpaksa menahan sakit lebih sejam selepas besi paip tertusuk di bawah ketiak kirinya akibat terjatuh dari pokok mangga di hadapan rumahnya di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang. - Foto ihsan Bomba

Warga emas jatuh pokok mangga tercucuk besi paip meter

MELAKA : Seorang wanita warga emas terpaksa menahan kesakitan lebih sejam akibat tercucuk batang besi daripada paip meter selepas terjatuh dari pokok mangga di depan rumahnya, di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa berusia 64 tahun, dipercayai sedang memanjat pokok berkenaan untuk memetik buahnya, sebelum terkejut selepas terdengar bunyi petir lalu terjatuh.

Kejadian itu menyebabkan besi sepanjang 24 inci dengan diameter setengah inci tercucuk ke bahagian bawah ketiak mangsa sedalam dua inci.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Hamdan Sudin, berkata sepasukan 10 anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.16 petang.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati seorang wanita warga emas duduk di bawah pokok di hadapan rumah dengan besi tercucuk di badannya.

“Berdasarkan maklumat orang awam, dia terjatuh daripada pokok ketika berlaku hujan ribut di kawasan sekitar Ayer Keroh dan Bukit Beruang.

“Anggota kita mengambil masa lima minit untuk memotong besi di bahagian bawah yang mencucuk mangsa menggunakan peralatan khas sebelum dia dibawa ke Hospital Melaka untuk membuang besi di badannya,” katanya.

Berita Harian X