Isnin, 11 November 2019 | 11:42am

SRC: Najib diperintah bela diri

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes ‘prima facie’ bagi kes berkenaan.

Najib, 66, berdepan masing-masing tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Menurut Mohd Nazlan, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC dan mempunyai kawalan keseluruhan menyebabkan RM42 juta didepositikan ke dalam akaunnya bagi kepuasan beliau.

“Ia adalah bagi tertuduh (Datuk Seri Najib Razak) untuk menangkis bukti dan saya mendapati bahawa elemen menggunakan kedudukan berjaya dibuktikan oleh pendakwaan. Sehubungan itu ‘prima facie’ berjaya dibuktikan,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah mendapati pindahan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun bekas Presiden UMNO itu telah menyebabkan SRC mengalami kerugian.

“Walaupun mengetahui terdapat wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya, tertuduh (Najib) tidak mengarahkan supaya laporan polis dibuat.

“Mahkamah mendapati tertuduh tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menentukan wang yang masuk ke dalam akaunnya adalah daripada aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.

Terdahulu pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahan pada 27 Ogos lalu selepas Najib mula dibicarakan 3 April.

Seramai 57 saksi dipanggil memberi kenyataan sepanjang 58 hari perbicaraan, termasuk bekas Pengurus Perhubungan Awam AmBank Bhd, Joanna Yu, serta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Semasa perbicaraan, pasukan pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes, termasuk dokumen bank yang mempunyai kaitan dengan akaun bank Najib, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry berhubung transaksi oleh Najib.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 10 hari iaitu 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.

Sementara itu, Najib memilih untuk membela diri terhadap semua tujuh yang dihadapinya itu menerusi keterangan bersumpah di kandang tertuduh.

Dengan memilih demikian, beliau boleh disoal balas oleh pasukan pendakwaan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Najib yang memakai sut hitam tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, jam 8.45 pagi, beliau disambut kira-kira 100 penyokongnya.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meninggalkan Mahkamah Tinggi Jenayah 1 untuk mendengar keputusan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X