Sabtu, 9 November 2019 | 8:07pm
Wan Mohd Nur Muzaalif maut selepas digilis sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang dari beriadah di Batu 10, Jalan Gombak Lama, Gombak, pagi tadi. - NSTP/Ihsan pembaca.

Penunggang basikal maut digilis lori

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang basikal maut selepas digilis sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang dari beriadah di Batu 10, Jalan Gombak Lama, Gombak, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Wan Mohd Nur Muzaalif Wan Musa, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Keramat, di sini, selepas berbasikal bersama tiga rakannya dari arah Bentong, Pahang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata semasa tiba di tenpat kejadian, lori berkenaan memotong mangsa yang menunggang berseorangan.

“Semasa sedang memotong, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di bahagian kiri tayar belakang lori sebelum digilis lori berkenaan.

“Pemandu lori kemudian memberhentikan lorinya sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, rakan mangsa yang berada di belakang dalam jarak kira-kira 200 meter mengalihkan basikal mangsa.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Orang ramai yg mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Suhaimi di talian 03-6126 2222 atau 013-755 7556.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X