Sabtu, 9 November 2019 | 7:25pm
Mangsa mengalami masalah kemurungan kerana tekanan kerja dan keperluan untuk menguruskan masa bagi menghantar dan mengambil anak di sekolah. - Foto hiasan

'Suami saya kemurungan'

PUTRAJAYA: “Suami saya mengalami masalah kemurungan kerana tekanan kerja dan keperluan untuk menguruskan masa bagi menghantar dan mengambil anak di sekolah,” kata seorang guru yang menjadi mangsa tikaman suaminya di sini, semalam.

Wanita berusia 35 tahun itu memaklumkan suaminya tidak pernah berkelakuan kasar terhadapnya, dan kejadian di rumah mereka di Presint 9 semalam adalah kali pertama.

“Suami saya memang mengambil ubat kemurungan kerana tekanan kerja, saya tidak jangka dia akan bertindak sebegitu semalam kerana ini kali pertama dia berkelakuan begitu.

“Dia tidak pernah berkasar dengan saya, dan selepas tindakannya itu saya nekad keluar dari rumah dan memandu sendiri kenderaan menuju ke hospital dalam keadaan cedera.

“Saya bersyukur bayi saya selamat dilahirkan dan dalam keadaan sihat,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Dia yang bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah di Serdang, berkata suaminya juga pernah menyatakan hasrat untuk pulang bertugas di kampung halaman di Melaka.

“Tapi berikutan saya masih sarat, selain proses permohonan yang pasti mengambil masa, hasrat itu ditangguhkan sementara,” katanya yang mempunyai dua orang lagi anak lelaki masing-masing berusia enam dan empat tahun.

Dia juga memaklumkan akan berpantang di kampungnya di Kedah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, mangsa yang sedang hamil 37 minggu cedera di beberapa bahagian badan selepas ditikam suaminya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata mangsa mengalami pendarahan luka hirisan di jari kiri, lengan kanan, dua kesan hirisan di perut dan luka di bahagian belakang kanan badan.

Beliau berkata, mangsa turut mengadu sakit di bahagian perut dan bimbang akan keadaan kandungannya sebelum dirujuk ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Ortopedik untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa berjaya melahirkan seorang bayi lelaki menerusi pembedahan malam tadi, keadaan mangsa dan anaknya stabil.

Rosly berkata, suami mangsa berusia 39 tahun dan bertugas sebagai jurutera audio berjaya ditahan semalam dan direman sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X