Rabu, 6 November 2019 | 7:44pm
BEKAS Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tian Chua tidak pernah hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua layak bertanding dalam mana-mana pilihan raya dan pilihan raya kecil pada masa akan datang.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Marina Yahya, yang memutuskan Tian Chua tidak pernah hilang kelayakan untuk bertanding.

Marina membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pemula difailkan Tian Chua selaku pemohon terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku defendan tunggal dalam saman itu.

Mahkamah bersetuju Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Mahkamah membuat keputusan itu di dalam kamar dan perkara itu kemudian disahkan Peguam Kanan Persekutuan, Md Azizan Arshad.

Sementara itu, peguam Datuk Gurdial Singh Nija mewakili Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang ketika ditemui media, berkata keputusan SPR menolak pencalonan Tian Chua adalah tidak sah memandangkan terdapat kes yang sudah diputuskan oleh dua Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk SPR menolak pencalonan Tian Chua.

“Dengan keputusan ini, Tian Chua dideklarasikan sebagai seorang yang wajib bertanding dan tidak melanggar Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 26 April lalu, Tian Chua memfailkan permohonan untuk deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya dan pilihan raya kecil.

Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding.

Berdasarkan afidavit, Tian Chua mendakwa dia layak mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Wakil rakyat itu berkata, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman yang dijatuhkan.

Tambahnya, bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga ada membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai Ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tanpa sebarang bantahan.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika PRU-14.

Sebelum ini, terdapat dua keputusan Mahkamah Tinggi berasingan yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya, masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan mengganggu penjawat awam.

Berita Harian X