Ahad, 3 November 2019 | 1:06pm
KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Lunas-Karangan berdekatan Kilang Inokom, Kulim, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Bas ekspres kemalangan, 5 penumpang cedera

KULIM: Lima penumpang bas cedera selepas bas ekspres dinaiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Lunas-Karangan berdekatan Kilang Inokom di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.42 pagi tadi.

Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dan BBP Kulim bersama dua jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 5.57 pagi.

“Maklumat awal mendapati 26 penumpang dan dua pemandu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori.

“Operasi mengeluarkan penumpang mengambil kira-kira 15 minit sebelum mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, lima penumpang yang cedera berusia lingkungan 40-an dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Berita Harian X