Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:24pm
Cadangan menaiktaraf Tebingan Sungai Limbang. - Foto FB Discover Limbang

Tebingan Limbang berwajah baharu tahun 2030

LIMBANG: Bandar Limbang di utara Sarawak akan mempunyai Tebingan Limbang di Sungai Limbang yang berwajah baharu menjelang tahun 2030.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ia adalah sebahagian perancangan kerajaan negeri membangunkan bandar Limbang.

Beliau berkata, Majlis Daerah Limbang turut diberikan peruntukan RM22.5 juta bagi membina laluan baharu dari Bangunan Tamu Limbang menuju ke dataran hadapan Balai Polis Limbang.

“Laluan itu akan menghubungkan satu laluan yang akan menuju ke Tebingan Limbang di Sungai Limbang.

“Sebuah jambatan pejalan kaki akan dibina di atas bangunan dekat Jeti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, di Majlis Bersama Pemimpin anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota di Dewan Kampung Bunga Raya di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Bukit Kota itu berkata, projek pembangunan lain yang dirancang di bandar itu ialah kerja menaik taraf Dataran Bandar Limbang.

Dr Abdul Rahman berkata, dataran itu akan mempunyai kemudahan tempat bersenam, taman permainan kanak-kanak dan 260 lot meletak kenderaan.

Katanya, kerajaan negeri komited memajukan daerah Limbang supaya dapat membangun seperti daerah lain di Sarawak.

“Banyak perancangan pembangunan dirancang untuk meningkatkan pembangunan di bandar Limbang,” katanya.

Berita Harian X