Selasa, 29 Oktober 2019 | 11:37am
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar Changlun berikutan banjir kilat. - Ihsan Bomba
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar Changlun berikutan banjir kilat. - Ihsan Bomba

Mangsa banjir meningkat 212 orang di Kedah

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah kini berjumlah 212 orang membabitkan 61 keluarga sehingga jam 9.30 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, berkata jumlah berkenaan membabitkan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Pendang, Kulim dan Kubang Pasu.

“Seramai 96 mangsa dari 28 keluarga di Pendang di tempatkan di PPS Dewan Cenderawasih, Pendang.

“Di Kulim seramai 20 mangsa dari lima keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Junjung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memaklumkan di Kubang Pasu sebanyak 28 keluarga terjejas akibat banjir membabitkan 96 mangsa.

“Semua mangsa di daerah Kubang Pasu ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tradisi Changlun.

“Setakat ini paras air masih merbahaya dan anggota keselamatan masih memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita Harian X