Isnin, 28 Oktober 2019 | 4:51pm
Kanak-kanak menaiki basikal meredah banjir selepas kawasan rumah mereka di Kampung Banggol Kambing dinaiki air sejak semalam menyebabkan ramai penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Pendang hari ini. - Foto BERNAMA
Pegawai Daerah Pendang merangkap Pengerusi Bencana daerah Syed Khairol Anuar Syed Abdiin (dua, kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir Sharipah Abd Rahman, 48, selepas menyampaikan barangan keperluan seperti tikar, toto dan selimut bagi memberi keselesaan kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Pendang hari ini. - Foto BERNAMA

Banjir: Kedah kekal 86 mangsa di 2 PPS

PENDANG: Seramai 86 mangsa banjir di Kulim dan Pendang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang mula dibuka semalam, berikutan paras air di kawasan terbabit masih di paras berbahaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, berkata 65 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Cenderawasih, Pendang.

Katanya, seramai 21 mangsa daripada lima keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Junjung, Kulim.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah melaporkan air Sungai Pendang mencecah paras bahaya 2.98 meter, menyebabkan penduduk tidak dibenarkan pulang sehingga lewat petang ini.

“Kita masih berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan lebat dijangka berterusan dan boleh menyebabkan limpahan lebih besar ke kawasan berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara kampung di Pendang yang terjejas adalah kawasan Ayer Putih, Padang Pusing dan Guar Kepayang, manakala di Kulim kawasan yang terjejas adalah sekitar Junjung.

Sehingga petang ini, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis masih memantau keadaan.

Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon, berkata anggotanya bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir lebih teruk berlaku di seluruh negeri ini.


Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon (tengah) membantu memindahkan penduduk Kampung Banggol Kambing yang rumah mereka dinaiki air. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Katanya, aset bomba yang digunakan bagi operasi di Pendang adalah membabitkan dua bot, lori tiga tan dan kenderaan pacuan empat roda (4WD).

“Kebanyakan mangsa banjir di Pendang berpindah sendiri ke PPS dan anggota kita turut melakukan pemantauan untuk memastikan semua mangsa segera berpindah selepas paras air meningkat.

“Kita melakukan pemantauan berterusan untuk memastikan keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui selepas meninjau banjir di Kampung Banggol Kambing di sini.

Berita Harian X