Isnin, 28 Oktober 2019 | 3:30pm
Dua maut selepas kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan, di Kilometer 6, Jalan Jerantut Maran. - Ihsan Bomba

2 Orang Asli maut nahas jalan raya

JERANTUT: Dua Orang Asli terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6 Jalan Jerantut-Maran dekat Jerantut Feri di sini, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 10 malam itu, A Rudin, 25, yang memandu Proton Iswara dan rakannya, Ahmad Bustamam Fauzi, 33, yang duduk di belakang, meninggal dunia di lokasi.

Rakan mereka, T Wani, 40, yang duduk di belakang, patah tulang pinggul dan mengalami pendarahan di bahagian perut.

Penunggang motosikal, Ashraf Danial Mohd Tarmizi, 17, turut parah dalam kemalangan itu.

Nahas itu membabitkan empat kenderaan, masing-masing kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Proton Wira Aeroback, Proton Iswara dan motosikal Honda EX5.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu dari arah Jengka ke bandar Jerantut, manakala tiga lagi kenderaan dari arah bertentangan.

Berdasarkan keterangan beberapa saksi dan siasatan di lokasi, pemandu Toyota Hilux dipercayai masuk laluan bertentangan sebelum pemandu Proton Wira Aeroback cuba mengelak ke kiri jalan tetapi dilanggar oleh kenderaan itu menyebabkannya terbabas ke bahu jalan.

“Dalam masa sama, Toyota Hilux itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar Proton Iswara dinaiki mangsa yang berada di belakang Proton Wira Aeroback.

“Kejadian itu turut menyebabkan penunggang motosikal gagal mengelak Toyota Hilux sebelum merempuh kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang hadapan Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Proton Wira Aeroback juga tidak mengalami kecederaan dan penumpang kenderaan itu hanya cedera ringan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X