Isnin, 28 Oktober 2019 | 12:13pm
PEKERJA sebuah kolam ikan melakukan kerja pemindahan ternakan ikan air tawar selepas tebing kolam pecah menyebabkan banjir melanda Jelebu sejak khamis lalu. - Foto Abnor Hamizam

Penternak ikan air tawar alami kerugian akibat banjir

JELEBU: Kejadian banjir di daerah ini sejak Khamis lalu bukan saja menyebabkan kerosakan harta benda penduduk malah turut mengakibatkan kerugian kepada penternak ikan air tawar dan udang galah.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip, berkata sebanyak dua kolam ternakan ikan air tawar pecah manakala satu kolam dilimpahi air sungai yang masuk ke kolam.

Katanya di Kampung Serdai Hilir, seorang penternak ikan air tawar mengalami kerugian hampir RM400,000 selepas tebing kolam pecah menyebabkan 10 tan ikan terlepas ke Sungai Jerang.

“Pengusaha terbabit bagaimanapun memberi kebenaran kepada orang ramai menangkap ikan yang terlepas ke sungai bersebelahan kolam ternakan itu.

“Seorang penternak di Kampung Chennah turut kerugian RM222,000 akibat limpahan air Sungai Kenaboi yang masuk ke tiga kolam ternakan udang galah dan ikan tilapia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Halimi berkata, seorang lagi penternak ikan di Kampung Simpang Durian turut kerugian RM32,000 apabila 1.7 tan ikan tilapia terlepas selepas tebing kolam sepanjang enam meter pecah.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya menghantar laporan siasatan dan laporan polis penternak kepada Ibu Pejabat Jabatan Perikanan bagi urusan permohonan peruntukan bantuan bencana banjir bagi meringankan beban mereka.

Pada Khamis lalu, lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka selepas lima kampung di kawasan Chennah dan Pertang dinaiki air.

Kawasan terjejas ialah Kampung Telekong Poum, Kampung Chennah, Kampung Juntai, Kampung Simpang Durian dan Kampung Jerang.

Bagaimanapun, keadaan banjir di semua kampung berkenaan kembali pulih dan semua PPS sudah ditutup sepenuhnya malam tadi.

Berita Harian X