Sabtu, 26 Oktober 2019 | 11:55am

Graduan Politeknik Mukah muncul Konstabel Terbaik wanita

RAWANG: Seramai 299 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Wanita Bilangan 20 Siri 4/2019 menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di sini hari ini.

Kejayaan mereka menamatkan latihan asas selama enam bulan itu diraikan dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusun Bukit Aman, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Komandan PULAPOL Bukit Sentosa, Superintendan Mohd Rusli Din.

Pada majlis itu, Graduan Diploma Sains Kesetiausahaan dari Politeknik Mukah, Sarawak, Konstabel Sakinah Said, 23, dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan program latihan asas kepolisan siri kali ini.

Sementara itu, Konstabel Noraishah Ahmad, 26, dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Akademik, manakala Nor Syahirah Abd Aziz, 24, dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.


(DARI kiri) Penerima Anugerah Pelatih Terbaik Akademik, Konstabel Noraishah Ahmad; penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan, Konstabel Sakinah Said dan penerima Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar, Konstabel Nur Syahirah Abd Aziz bergambar bersama pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Omar dalam ucapannya, mengingatkan kesemua pelatih yang tamat latihan kali ini supaya sentiasa menjaga integriti dan menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jangan terbabit dengan kegiatan salah laku, jauhi rasuah dan salah guna kuasa, selain perlu sentiasa menghormati pegawai atasan.

“Kita juga perlu sentiasa menjaga imej serta nama baik PDRM dan yang paling penting adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Difahamkan, seramai 14 pelatih program latihan asas kali ini memiliki Ijazah Sarjana Muda, diploma (45), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) (tiga), dan 237 pelatih adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kesemua 299 pelatih yang berjaya menamatkan latihan PLAK selama enam bulan mulai 28 April lalu itu akan ditempatkan di formasi PDRM seluruh negara bermula 1 November ini.

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (kiri) beramah mesra bersama penerima Anugerah Pelatih Terbaik, Konstabel Noraishah Ahmad (empat dari kiri), Konstabel Nur Syahirah Abd Aziz dan Konstabel Sakinah Said pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Datuk Omar Mammah memberi tabik hormat pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Bukit Sentosa, Rawang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Bukit Sentosa, Rawang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Bukit Sentosa, Rawang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Datuk Omar Mammah memeriksa barisan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan di Bukit Sentosa, Rawang. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X