Khamis, 24 Oktober 2019 | 10:33am
MAYAT Norafidah Keling yang meninggal dunia selepas digilis sebuah kereta Proton Wira di Jalan Matrikulasi Changlun. - Foto ihsan PDRM

Guru KAFA maut digilis kereta

CHANGLUN: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) maut digilis kereta selepas motosikal dibonceng bersama suaminya terbabit dalam kemalangan di Jalan Matrikulasi Changlun, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Norafidah Keling, 47, membonceng motosikal ditunggang suaminya, Ajizi Abdul, 54, sebelum mangsa digilis kereta Proton Wira dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa cuba memotong kereta Proton Wira berkenaan.

Mangsa gagal menyedari terdapat kereta dari arah bertentangan menyebabkan penunggangnya hilang kawalan dan kedua-dua mereka terjatuh ke atas jalan raya.

“Akibatnya pembonceng motosikal digilis kereta Proton Wira, manakala penunggangnya mengalami kecederaan.

“Pembonceng itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang dihantar ke Hospital Jitra oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X