Rabu, 23 Oktober 2019 | 4:46pm
KETUA Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Klang, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Mak ayah, 4 anak, menantu edar dadah

KAPAR: Suami isteri bersama empat anak dan seorang menantu warga Myanmar berselindung di sebalik perniagaan perkhidmatan mesin jentera bagi mengaburi kegiatan mengedar dadah.

Bagaimanapun, perbuatan semua ahli keluarga itu ditumpaskan selepas rumah didiami mereka di Jalan Keretapi Lama, diserbu polis, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata dalam serbuan bermula jam 9 malam hingga 12.30 tengah malam, pihaknya menemui dadah jenis eramin, ketamin serta serbuk dadah yang tidak diketahui jenisnya yang cuba disorokkan dalam satu bilik.

Katanya, siasatan mendapati, semua dadah itu diambil di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Klang dan Kuala Selangor.

“Dalam serbuan itu, pasangan suami isteri, masing-masing berusia 60 dan 58 tahun serta empat anak dan seorang menantu berusia antara 31 hingga 38 tahun, enggan memberikan kerjasama.

“Bagaimanapun, mereka akur membuka pintu rumah sebelum polis menemui 3,600 pil eramin, 1.050 kilogram ketamin serta 198 gram serbuk dadah yang masih belum diketahui jenisnya

“Polis turut menyita dua kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Perodua Myvi serta wang tunai berjumlah RM500. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM258,400,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nurulhuda berkata, siasatan lanjut mendapati, keluarga berkenaan aktif mengedar dadah sejak sebulan lalu.

Katanya, pasangan suami isteri berkenaan juga pernah didakwa dan dikenakan denda atas kesalahan dadah.

“Polis akan membuat siasatan lanjut berhubung perkara ini untuk mengenal pasti ahli keluarga lain yang terbabit dengan kegiatan jenayah ini.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X