Isnin, 21 Oktober 2019 | 7:01pm
BEKAS Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa. NSTP/Rosela Ismail

SPRM tahan Nasharudin, dituduh di mahkamah esok

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Datuk Dr Nasharudin Mat Isa selepas bekas Timbalan Presiden PAS itu hadir memberi keterangan dipercayai berhubung siasatan dakwaan pemberian wang RM90 juta kepada pemimpin PAS.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM), ditahan kira-kira jam 2 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas diminta hadir melengkapkan proses siasatan akhir SPRM.

SPRM dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sudah mendapat izin daripada Peguam Negara bagi menuduh Nasharudin di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada jam 9 pagi esok.

Difahamkan, ahli politik itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Kanun Keseksaan.

“Nasharudin dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas ditahan. Kesemua butiran berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” kata SPRM.

Nasharudin sebelum ini adalah antara pemimpin politik yang dipanggil SPRM berhubung siasatan kes penerimaan wang RM90 juta dan beliau hadir ke pejabat SPRM pada Februari lalu untuk membantu siasatan.

Dalam siasatan itu, beliau menyerahkan dokumen termasuk penyata kewangan dan akaun bank peribadi serta YGMM sebagai bukti bagi menyokong keterangannya.

Pada 2017, Rafizi Ramli yang ketika itu Ahli Parlimen Pandan, membuat akuan bersumpah mendakwa Nasharudin pernah menerima dana berkait 1MDB.

Nasharudin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mengatakan ia sebagai tidak berasas, selain mendakwa ia satu fitnah terhadap beliau dan PAS.

Selain itu, Datuk Husam Musa yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, sebelum ini turut mendakwa beliau mempunyai butiran mengenai dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan itu.

Berita Harian X