Ahad, 20 Oktober 2019 | 4:12pm

Tumbuk mangsa, tidak puas hati hasil samun

LABUAN: Berang hasil samunnya hanya wang tunai RM20, seorang remaja bersama rakannya menumbuk mangsa mereka bertubi-tubi hingga cedera teruk dalam kejadian berhampiran sebuah kedai runcit di Kampung Saguking, di sini, Selasa lalu.

Bagaimanapun, tindakan remaja berusia 18 tahun itu mengundang padah selepas ditahan polis susulan laporan dibuat oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata kejadian berlaku pada jam 2.30 petang, Selasa lalu, ketika mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu sedang berjalan ke kedai runcit.

“Mangsa tiba-tiba didatangi dua lelaki tidak dikenali dari arah depan dan belakang sebelum meminta wang daripada mangsa. Mangsa kemudian menyerahkan RM20, namun suspek tidak berpuas hati lalu menumbuk muka mangsa bertubi-tubi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Muhamad Farid berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala.

“Mangsa luka di dahi kiri, berdarah di bahagian hidung, bengkak pada mata kiri serta calar di bahagian atas kepala. Mangsa kemudian mendapat rawatan di Hospital Labuan dan turut melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Susulan kejadian itu, Muhamad Farid berkata, satu laporan polis dibuat oleh mangsa sebelum pihaknya berjaya menahan suspek.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku memukul dan mengambil wang daripada mangsa bersama rakannya yang masih bebas. Suspek juga mengaku menggunakan wang yang disamun untuk membeli minuman keras,” katanya.

Katanya, suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X