Jumaat, 18 Oktober 2019 | 9:03pm
MAYAT Norhafizan Mohd Soleh yang meninggal dunia akibat disambar petir di jalan ban Mada di Kampung Hujung Alor. - Foto ihsan pembaca

Maut disambar petir

ALOR SETAR: Bapa maut manakala anak lelakinya cedera selepas dipercayai disambar petir ketika menunggang motosikal di Kampung Hujung Alor, di sini, petang tadi.

Difahamkan, mangsa, Norhafizan Mohd Soleh, 39, dan anaknya berusia tujuh tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua beranak dipercayai dipanah petir di kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, mangsa ditemui penduduk kampung yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

“Mangsa yang juga pesawah dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya melecur kira-kira enam peratus.

“Ketika kejadian dua beranak itu baru pulang menunaikan solat di Masjid Rafeah Taman Uda, Jalan Sultanah, di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Anaknya masih dirawat di Zon Merah HSB dan dalam keadaan stabil dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X