Jumaat, 18 Oktober 2019 | 3:33pm

Marah motif bunuh dua beranak

MELAKA: Marah kepada mangsa dipercayai motif utama kes pembunuhan kejam dua beranak yang ditemukan dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong, di sini pada 10 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Laili Masduki, berkata

siasatan kes berkenaan kini sudah hampir selesai dan pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya.

“Kes sudah hampir (selesai), selain suspek juga sudah ditangkap. Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan.

“Motif pembunuhan dipercayai kerana rasa marah isu yang ditimbulkan oleh mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taska Di Tempat Kerja Sektor Awam yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahrul Laili, berkata beberapa individu termasuk ahli keluarga lelaki warga Singapura yang juga suspek kes berkenaan dijangka akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini (ahli keluarga di Singapura) belum dipanggil tetapi kita akan panggil termasuk keluarga suspek untuk melengkapkan siasatan.

“Malah keputusan rasmi ujian saringan air kencing suspek juga belum diterima daripada pihak hospital,” katanya.

Mengenai identiti mangsa, Shahrul Laili menegaskan pihaknya tidak dapat mengesahkannya sehingga menerima keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh.

“Kita belum kenal pasti dan perlu menunggu DNA. Kita menunggu laporan DNA untuk sahkan badan yang dijumpai adalah mereka yang dilaporkan hilang,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan lapan bahagian tubuh mayat manusia ditemui di dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, Khamis, milik dua beranak yang tular di media sosial.

SEORANG lelaki warga Singapura diiringi anggota polis selepas mendapat tambahan tahanan reman selama tujuh hari berhubung kes yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Ladang, Krubong, ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X