Khamis, 17 Oktober 2019 | 12:33pm
Anggota Penguatkuasa JAIK memeriksa sebuah bilik yang disewa sembilan lelaki dan tiga wanita di sebuah hotel murah di Lebuhraya Darulaman, Alor Setar. - NSTP/Ihsan JAIK

12 remaja tidur di sebuah bilik hotel ditahan

ALOR SETAR: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menahan 12 remaja, termasuk tiga perempuan, yang didapati tidur beramai-ramai di sebuah bilik hotel di Lebuh Raya Darulaman, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi, semua remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun itu ditemui berkumpul di dalam bilik hotel berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Radzi Abdul Mutalib, berkata pihaknya bertindak selepas menerima maklumat berhubung kegiatan perkara terbabit.

Beliau berkata, pemeriksaan di bilik berkenaan menemui sembilan remaja lelaki dan tiga lagi perempuan berada dalam keadaan fizikal meragukan serta disyaki terbabit kegiatan negatif.

“Susulan perlakuan remaja berkenaan yang mencurigakan, kami menyerahkan kes ini kepada polis kerana mengesyaki mereka terbabit kegiatan berkaitan dadah.

“Kebanyakan mereka berasal dari Kuala Nerang, Pendang, Alor Setar dan Sungai Petani, selain ada yang datang dari Pulau Pinang dan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil pemeriksaan turut mendapati semua remaja itu tiada sebarang hubungan mahram dan mereka dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X