Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:29pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menjawab pertanyaan media selepas majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada sambutan Hari Integriti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

SPRM terima aduan salah guna kuasa hakim mahkamah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 20 aduan berhubung salah guna kuasa dan rasuah membabitkan hakim mahkamah sesyen pada tahun ini.

Salah guna kuasa dan rasuah adalah antara perkara yang dipandang serius oleh SPRM terutama dalam badan kehakiman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata SPRM menerima pelbagai jenis aduan yang mempunyai kaitan dengan rasuah tetapi pada masa ini tiada sebarang pendakwaan atau reman dibuat berikutan ia masih dalam siasatan awal.

“Ia masih dalam siasatan dan sekiranya SPRM bersedia untuk reman dan buka kertas siasatan, pihak kami akan maklumkan secara umum.

“Pihak SPRM menganggap aduan salah guna kuasa dalam badan kehakiman adalah perkara yang membimbangkan.

“Oleh itu, setiap aduan akan disiasat kerana 20 aduan diterima itu turut membabitkan individu yang sama,” katanya.

Latheefa berkata demikian dalam sidang media pada majlis sambutan Hari Integriti anjuran Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, tidak semestinya SPRM akan menyiasat 20 aduan itu kerana ada di antara aduan tidak berkaitan dengan salah guna kuasa termasuk rasuah.

“Jumlah 20 aduan itu bukan bermakna 20 individu akan disiasat. Mungkin terdapat aduan yang tiada kena mengena dengan rasuah.

“Mungkin ada aduan lain seperti kes lambat atau sebagainya, tetapi SPRM hanya mengambil aduan yang membabitkan salah guna kuasa dan rasuah saja,” katanya.

Berita Harian X