Isnin, 14 Oktober 2019 | 12:21pm

Kepala dua beranak disembunyi atas siling

MELAKA: Kepala dua beranak yang menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila mayat mereka dikerat lapan, Khamis lalu disembunyikan oleh suspek di atas siling rumah mangsa.

Sumber memberitahu, kepala wanita dan kanak-kanak lelaki itu berjaya ditemui polis di rumah mangsa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini, kira-kira jam 8 malam, Jumaat lalu.

“Bahagian kedua-dua kepala mangsa ditemukan di atas loteng rumah dua tingkat yang didiami mangsa bersama suaminya.

“Keluarga mangsa juga hadir ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, malam kelmarin (Sabtu) untuk pengesahan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam, BH melaporkan Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim dipetik sebagai berkata, polis tidak dapat mendedahkan penemuan anggota badan terbaharu, iaitu kepala mangsa yang dikhuatiri mengganggu siasatan atau pertuduhan.

Beliau sebaliknya memberitahu usaha pencarian bahagian pergelangan tangan juga masih dilakukan kerana dipercayai bahagian itu dibuang ke dalam tong sampah.

“Bahagian tangan belum dijumpai dan ia masih dicari dalam melengkapkan bahagian badan yang lain.

“Ia difahamkan dibuang ke dalam tong dan kemudiannya diangkut oleh pihak ditugaskan untuk dibuang, selain sudah lama,” katanya sebelum ini.

BH Khamis lalu melaporkan mayat dua beranak mangsa bunuh ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong, pada 4 petang.

Mayat mangsa wanita dan anak lelakinya itu dikerat dan dicampakkan di kawasan semak sebelum ditemui pemotong rumput.

Susulan itu, Sabtu lalu, polis berjaya menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu.

Kepala dua beranak yang menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila mayat mereka dikerat lapan, Khamis lalu disembunyikan oleh suspek di atas siling rumah mangsa. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X