Ahad, 13 Oktober 2019 | 1:57pm
Antara individu yang ditahan semalam selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE. - Ihsan PDRM
Antara individu yang ditahan semalam selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE. - Ihsan PDRM

Polis kesan transaksi kewangan untuk gerakkan LTTE

KUALA LUMPUR: Polis mendedahkan wujud transaksi kewangan dalam jumlah yang besar dipercayai untuk menggerakkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Transaksi itu dikesan susulan penahanan 12 individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan terbabit dalam operasi khas Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak Khamis lalu.

Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya juga menemui bahan berkaitan LTTE seperti bendera, buku dan poster gambar pemimpin ketika melakukan penggeledahan ke atas individu yang ditahan.

“Transaksi kewangan ini dipercayai untuk membiayai kegiatan mempromosi, merekrut serta menggerakkan program LTTE di negara ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pagi ini.

Bagaimanapun, Ayob Khan tidak mendedahkan nilai transaksi kewangan yang dikesan.


KETUA Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

“Kita tidak boleh dedahkan berapa nilai transaksi yang ditemui. Bagi kita, nilai tidak menjadi isu, jika beri RM100 pun bantu juga.

“Malah, sebelum ini kes membabitkan (militan) Daesh... masukkan RM50 pun kita dakwa juga. Ia bukan isu nilai... ia adalah perbuatan salah menyokong kumpulan pengganas,” katanya.

Menjawab kritikan sesetengah pihak menyatakan polis tidak perlu menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menahan individu terbabit, Ayob Khan menjelaskan penahanan mereka berkait isu keselamatan negara.

“Jika polis hanya panggil mereka untuk beri keterangan, kita percaya mereka akan memberi keterangan yang tidak terperinci.

“Mereka ditahan mengikut SOSMA bagi membolehkan polis untuk menjalankan siasatan dengan teliti dan merampas barangan yang kita anggap penting dalam proses siasatan,” katanya.

Ayob Khan juga berkata pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan keluarga suspek dimaklumkan mengenai penahanan itu.

“Kemudian dalam tempoh 48 jam, akses kepada peguam akan diberikan. Malah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan sebelum ini boleh bertemu keluarga dan peguam mereka, esok,” katanya.

Semalam, pasukan itu menahan lima lelaki termasuk pegawai eksekutif sebuah perbadanan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan LTTE.

Mereka ditahan dalam operasi khas E8 Cawangan Khas Bukit Aman bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang semalam di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.

Khamis lalu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan, antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala dikatakan menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.

Berita Harian X