Sabtu, 12 Oktober 2019 | 12:24pm

Warga Singapura direman tujuh hari kes pembunuhan kejam

MELAKA: Lelaki warga Singapura yang ditahan berhubung kes penemuan lapan bahagian tubuh mayat manusia, dipercayai milik lebih daripada seorang individu, di Kampung Ladang, Perindustrian Krubong, di sini, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini terhadapnya dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Melaka, Syarina Shaarani@Tan.

Lelaki berkenaan yang memakai baju lokap tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Melaka kira-kira jam 10.05 pagi sebelum dibawa keluar setengah jam kemudian.

Namun, dia yang diiringi pegawai polis kelihatan tenang dan bersahaja.

Warga Singapura itu ditahan selepas polis menemui lapan bahagian badan mayat manusia dipercayai mangsa bunuh di kawasan semak di kampung berkenaan, kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Bahagian mayat berkenaan ditemui seorang tukang potong rumput berusia 37 tahun yang menjalankan kerja penyelenggaraan di situ.

Siasatan awal polis percaya mayat sudah lima hari berada di situ, namun belum dapat mengesahkan identiti dan jantina berdasarkan penemuan bahagian tubuh tidak lengkap itu.

Semalam, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, lelaki itu ditahan dengan kerjasama polis Singapura, hasil maklumat risikan di tempat kejadian yang dipercayai rumah teres dua tingkat milik mangsa di Taman Merdeka Jaya.

Polis percaya lelaki terbabit ada maklumat berkaitan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Merdeka Jaya berdasarkan kesan darah di sebuah bilik di kediaman itu.

Semalam, viral di media sosial laporan mengenai kes itu serta gambar seorang wanita dan anak lelakinya yang didakwa mangsa, tetapi sehingga kini polis belum membuat sebarang pengesahan.

Lelaki warga Singapura yang ditahan berhubung kes penemuan lapan bahagian tubuh mayat manusia, dipercayai milik lebih daripada seorang individu, di Kampung Ladang, Perindustrian Krubong, di sini, direman tujuh hari bermula hari ini. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X