Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:20am
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad. - Foto Zulfadhli Zulkifli

4 peguam tampil beri keterangan

KUALA LUMPUR: Empat daripada 21 peguam yang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berhubung kes penipuan dan pecah amanah membabitkan kerugian puluhan juta ringgit, tampil memberi keterangan.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

Beliau berkata, keempat-empat peguam berkenaan dibebaskan sebaik sahaja selesai memberi keterangan.

“Usaha mengesan baki mereka yang lain masih diteruskan. Berdasarkan maklumat, lima daripada mereka dikesan berada di luar negara.

“Kita akan gunakan saluran tertentu untuk mendapatkan maklumat selain bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi lain yang wajar untuk membantu kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Pada 3 Oktober lalu, JSJK Bukit Aman menyenaraikan 21 peguam yang diburu kerana disyaki terbabit dalam 39 kes penipuan dan pecah amanah dengan kerugian berjumlah RM30.4 juta.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zakaria berkata, pihaknya sudah menahan 34 individu disyaki terbabit dalam kegiatan pinjaman wang haram atau ‘ah long’.

Mereka antara 117 individu yang diburu JSJK Bukit Aman kerana disyaki terbabit dalam kegiatan itu dan nama mereka diberikan polis melalui satu sebaran yang dibuat dalam sidang media minggu lalu.

“Seramai 33 daripadanya sudah dituduh di mahkamah, manakala seorang lagi sedang menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

“Kita berharap individu yang masih dalam senarai dikehendaki ini tampil segera untuk beri kerjasama dan memudahkan siasatan polis,” katanya.

Berita Harian X