Jumaat, 11 Oktober 2019 | 10:59am
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berucap pada Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia. - Foto Hafiz Sohaimi

Najib akan hadir beri keterangan

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan membabitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata Najib dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Selain Najib, beberapa lagi individu lain turut dipanggil bagi memberi keterangan.

“Kita sudah menghubungi Najib dan beliau bersetuju untuk hadir dalam masa terdekat bagi dirakamkan keterangan.

“Polis akan menggunakan Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah jika perlu sekiranya individu berkenaan enggan memberi kerjasama bagi membantu siasatan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Selasa lalu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hadir ke Bukit Aman bagi membantu siasatan mengikut akta hasutan.

Bagaimanapun, polis menangguhkan sesi merakam keterangan Kor Ming susulan beliau memaklumkan mempunyai tugas di Parlimen dan akan memanggilnya semula bagi diambil keterangan lanjut.

Pada 29 September lalu, hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor, tersebar di media sosial.

Hantaran yang ditulis dalam bahasa Cina itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Kor Ming menafikan beliau ada kaitan dengan hantaran berkenaan dan mendakwa akaun Facebook itu adalah akaun palsu.

Berita Harian X