Rabu, 9 Oktober 2019 | 3:01pm
Mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan tertiarap pada lantai bilik tidur sebuah rumah di Lorong 7, Jalan Krokop, Miri. - Foto Erika George

Bau busuk jadi petanda

MIRI: Bau busuk dari sebuah rumah di Jalan Krokop di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas, hari ini.

Mayat Lim Chai Hock, 74, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam bilik tidurnya pada jam 10 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.11 pagi dan memaklumkan terhidu bau busuk dari rumah mangsa.

“Susulan itu, 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikejarkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati pintu pagar kediaman itu berkunci dan mangga terpaksa dipotong menggunakan pemotong khas untuk masuk ke dalam,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah mendapati seorang lelaki tertiarap di atas lantai bilik tidur.

“Pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia. Identiti mangsa dikenal pasti berdasarkan kad pengenalan yang dijumpai di dalam rumah itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X