Rabu, 9 Oktober 2019 | 2:55pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto Azhar Ramli

Polis mungkin panggil Najib dakwaan fitnah Kor Ming

KUALA LUMPUR: Polis mungkin memanggil Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di laman Facebook (FB) milik bekas Perdana Menteri itu yang didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis akan meneliti dahulu laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanan kepada Ahli Parlimen DAP terbabit di Ipoh, Perak pada 3 Oktober lalu.

“Kita akan siasat laporan polis yang kita terima itu dahulu. Jika ada keperluan, kita akan panggil sesiapa yang berkaitan (untuk dirakam keterangan),” katanya pada sidang media harian Bukit Aman di sini, hari ini.

Ditanya sama ada polis akan merakam keterangan Najib, Huzir menjelaskan, polis akan memanggil Ahli Parlimen Pekan itu jika ada keperluan.

Semalam, Kor Ming menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran didakwa berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik di akaun FB itu pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan yang dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Pengerusi DAP Perak itu menganggap tindakan Najib sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta DAP.

Dalam pada itu, Huzir memberitahu, Kor Ming akan dipanggil semula untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan susulan laporan polis berkaitan kes berkenaan.

Semalam, polis sudah merakam keterangan Kor Ming kira-kira satu setengah jam sebelum pemimpin DAP itu yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat bergegas kembali ke Parlimen untuk menyertai sidang dewan.

Satu laporan polis dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, pada 1 Oktober lalu, susulan viral satu hantaran di FB ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina protes terhadap Sultan Selangor.

Ia berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor yang tersebar di media sosial pada 29 September lalu. Hantaran itu turut diulang muat naik di FB ‘Najib Razak’.

Berita Harian X