Ahad, 6 Oktober 2019 | 5:03pm

Bapa mengaku rogol, rakam video lucah anak OKU

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol, seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Tertuduh berusia 41 tahun berdepan empat pertuduhan masing-masing dua mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK) kerana sumbang mahram, Seksyen 377B KK kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menghasilkan video pornografi.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376B KK, dia didakwa merogol anaknya itu di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu.

Tertuduh turut didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di beranda sebuah rumah di Marang, jam 5 pagi pada 21 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Selain itu, lelaki itu juga didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu.

Bagi kesalahan itu, bapa kepada dua anak itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit milik mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Hakim Jamaludin Mat menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol, meliwat dan menghasillkan video pornografi anak kandungnya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran. NSTP/Imran Makhzan
Berita Harian X