Khamis, 3 Oktober 2019 | 6:33pm
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Baru, di sini, Sabtu lalu, diperluaskan ke kawasan darat dan muara Sungai Kemena. - NSTP/Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Operasi SAR diperluas, anggota berdepan kesukaran di sungai

BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Baru, di sini, Sabtu lalu, diperluaskan ke kawasan darat dan muara Sungai Kemena.

Kawasan pencarian Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, 6, dalam operasi yang sudah memasuki hari keenam, kini meliputi lingkungan lima kilometer dari kediaman keluarga mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, bagaimanapun, operasi SAR di Sungai Kemena berdepan kesukaran berikutan sungai itu dihuni banyak buaya.

Selain itu, katanya, anggota SAR juga terpaksa menghadapi arus deras sungai berkenaan susulan hujan di kawasan hulu.

“Pasukan SAR kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Setakat ini, pasukan SAR belum menemui sebarang petunjuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi SAR di sungai membabitkan empat anggota JBPM dan tujuh anggota Pasukan Polis Marin.

“Operasi SAR di darat pula membabitkan 12 anggota PDRM, seorang anggota Unit K9 dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan kanak-kanak terbabit.

“Siasatan sedang dijalankan dan perkembangan terkini berkenaan kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Puteri Nurardiana Damia Qaisara dilaporkan hilang daripada rumah keluarganya di tepi Sungai Kemena, oleh ibu kanak-kanak itu yang juga warga tempatan berusia 28 tahun.

Difahamkan, ibu mangsa hanya menyedari kehilangan kanak-kanak itu pada jam 3.30 pagi Sabtu lalu selepas mangsa kali terakhir dilihat berada di dalam rumah sekitar jam 2 pagi hari sama.

Media sebelum ini melaporkan ibu mangsa mengesyaki anaknya itu terjatuh ke Sungai Kemena kerana kanak-kanak berkenaan dikatakan kerap bermain di tepi sungai.

Berita Harian X