Rabu, 2 Oktober 2019 | 1:35pm

Anggota bomba jadi mangsa Macau Scam

LIPIS: Seorang anggota bomba di sini kerugian RM15,400 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai Pegawai Mahkamah Majistret Terengganu dan pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa lelaki berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon sebelum didakwa disambung ke Mahkamah Terengganu, kelmarin.

“Mangsa bercakap dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Faizal Zamri dan mendakwa sebagai pegawai perhubungan Mahkamah Majistret Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM13,600.10 sebelum menyambungkan panggilan kepada suspek kedua yang mendakwa sebagai Sarjan Amir Singh dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Terengganu.

“Suspek kedua mendakwa mangsa mempunyai kes jenayah dan mengarahkannya memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun yang diberikan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa memasukkan wang berjumlah RM15,400 ke akaun bank yang diberi sebelum panggilan diputuskan.

Beliau berkata, mangsa cuba menghubungi lelaki berkenaan namun mendapati talian sudah disekat, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kita sedang mengesan nombor digunakan suspek serta pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini,” katanya.

Berita Harian X