Sabtu, 28 September 2019 | 3:04pm
MANGSA, Mazlan Musa (gambar kecil) maut ditempat kejadian selepas motosikal yang dinaikinya melanggar seekor anjing, di Kilometer 5, Jalan Serkam- Merlimau. NSTP/Ihsan Polis.

Guru maut rempuh anjing

JASIN: Guru lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor anjing, dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Serkam- Merlimau, di sini.

Kejadian kira-kira jam 9.15 pagi tadi itu mengakibatkan mangsa Mazlan Musa, 46, mati di tempat kejadian, manakala anak lelakinya berusia sembilan tahun cedera.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan untuk membeli hadiah buat anaknya menyambut hari lahir hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata sebelum kejadian mangsa menunggang dari arah Serkam menghala ke Merlimau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar seekor anjing yang melintas jalan.

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.

“Pembonceng yang juga anak mangsa mengalami luka di kaki dan tangan.

“Motosikal mangsa ditahan bagi dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Hasan Basri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X