Khamis, 26 September 2019 | 9:45pm

Polis buru penyamun lima sahabat

KLANG: Polis memburu sekurang-kurangnya lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam dua kes samun dan satu cubaan samun di tiga kediaman di sekitar daerah ini, antara lewat malam tadi hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga kes dipercayai dilakukan suspek sama berdasarkan maklumat daripada mangsa.

Katanya, suspek dipercayai menyamun dengan memakai topeng bersenjatakan parang sebelum memasuki rumah mangsa dan melarikan barang berharga tanpa mencederakan mangsa.

Beliau berkata, dalam kes pertama, seorang wanita berusia 50 tahun didatangi empat lelaki bertopeng ski dan bersenjatakan parang panjang, di Taman Pendamar Indah 2, Pandamaran, kira-kira jam 11 malam tadi.

“Suspek kemudian melarikan seutas rantai emas, tiga bentuk cincin, sepasang subang emas dan tiga telefon bimbit jenis OPPO, Samsung dan Vivo serta kunci kereta dan wang tunai sejumlah RM130 dengan kerugian dianggarkan RM10,000.

“Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, kes kedua pula berlaku di Taman Sentosa Jaya apabila seorang lelaki berusia 28 tahun didatangi lima lelaki tidak dikenali, yang semuanya menutup muka dengan kain dan bersenjatakan parang panjang, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Beliau berkata, suspek berjaya melarikan seutas rantai emas, dua bentuk cincin emas, satu gelang emas dan satu telefon bimbit jenis Samsung Note 8 dengan anggaran kerugian RM8,000.

“Suspek melarikan diri menaiki kereta jenis Honda CR-V, warna gelap dan mangsa juga tidak dicederakan,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sekumpulan lelaki menceroboh rumah mangsa ke tiga di Taman Klang Jaya, kira-kira jam 3 pagi tadi gagal apabila ia disedari mangsa yang baru saja mahu tidur.

Katanya, mangsa yang mendengar bunyi seseorang di luar rumahnya kemudian ternampak tiga lelaki bertopeng serta bersarung tangan sedang memanjat pagar rumah pengadu dan cuba membuka pintu rumah.

“Apabila lampu rumah dinyalakan, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan Honda CR-V warna gelap tetapi mangsa tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

Shamsul Amar berkata, kes pertama dan kedua disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala kes ketiga disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Sekiranya orang awam ada sebarang maklumat, sila berhubung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Berita Harian X