Selasa, 24 September 2019 | 11:58am

Ibu mengaku tidak bersalah tuduhan bunuh anak kandung

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh bayi perempuannya berusia tiga bulan pada 11 September lalu.

Tertuduh, Nur Najihah Zulkiflee, 27, dari Kemaman hanya mengangguk faham sebelum membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian anaknya, Medina Sandra Mohd Saddly, tiga bulan, di sebuah rumah di FELDA Neram 2, Chukai, Kemaman, kira-kira jam 11.30 pagi pada 11 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kemaman.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 oleh ibu kandungnya.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 11 September lalu, kejadian menimpa bayi berkenaan disedari suami wanita itu yang melihat anak mereka dalam keadaan lemah ketika pulang menghantar makanan kepada isterinya kira-kira jam 10.30 pagi di sebuah rumah di Cheneh, Kemaman.

Sebaik ditanya sama ada mahu makan atau tidak, wanita itu memaklumkan sudah menghantar anak mereka ke syurga.

Bapa bayi berusia 27 tahun kemudian membawa anaknya ke Klinik Kesihatan di Cheneh, sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia jam 11.30 pagi.

Berita Harian X