Jumaat, 20 September 2019 | 11:27pm
Anggota polis membawa mayat mangsa yang terkena renjatan elektrik untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat. - Ihsan pembaca

Remaja maut kena renjatan elektrik

BACHOK: Seorang pelajar maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait umpan tiruan yang tersangkut pada kabel elektrik di Padang Melintang, Tawang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, mangsa berusia 13 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya ke tempat kejadian untuk mengait umpan tiruan yang terlekat di kabel elektrik sejak petang semalam.

“Mangsa menggunakan galah buluh yang basah untuk mengait umpan berkenaan menyebabkan dia terkena renjatan elektrik dan terus tidak sedarkan diri.

“Sebaik melihat kejadian itu, rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya.

“Pihak Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar di sini yang ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik HRPZ II untuk siasatan lanjut bagi mendapatkan punca kematian.

“Hasil bedah siasat mengesahkan kematian akibat terkena renjatan elektrik,” katanya.

Berita Harian X