Jumaat, 20 September 2019 | 6:19pm
Hasil kerjasama dan maklumat awam, kanak-kanak itu ditemui ditinggalkan suspek di Jalan Sentosa 4, Taman Nusa Damai iaitu kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi kejadian. - Ihsan PDRM

Kanak-kanak 7 tahun dilarikan pencuri kereta

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang menumpang kereta jirannya untuk menunaikan solat Jumaat, dilarikan bersama kenderaan itu yang dicuri seorang lelaki di Taman Kota Masai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, berkata dalam kejadian jam 2.57 petang itu, suspek yang belum dikenal pasti, melarikan kereta berkenaan dengan mudah disebabkan enjinnya tidak dimatikan.

“Pemilik kereta itu berusia 35 tahun singgah di sebuah kedai ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menunaikan solat Jumaat bersama mangsa serta dua anaknya yang masing-masing berusia empat dan enam tahun.

“Lelaki itu kemudian meletakkan kereta di hadapan kedai sebelum turun bersama dua anaknya, manakala mangsa yang juga anak jirannya menunggu di dalam kereta.

“Suspek kemudian masuk ke dalam kereta itu dan melarikannya dengan mangsa masih berada di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan segera menggerakkan operasi untuk mengesan kenderaan serta kanak-kanak terbabit.

“Hasil kerjasama dan maklumat awam, kanak-kanak itu ditemui ditinggalkan suspek di Jalan Sentosa 4, Taman Nusa Damai iaitu kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi kejadian.

“Kereta yang dilarikan itu juga kemudian ditemui berhampiran kawasan kanak-kanak itu ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X