Khamis, 19 September 2019 | 5:18pm
BEKAS Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Menipu 1MDB, Amhari Efendi nafi berkonspirasi dengan Jho Low

KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin menafikan dia berkonspirasi dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dalam memanipulasi urusan perniagaan membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amhari Efendi, 43, membuat penafian itu ketika disoal balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata, beliau tidak bersekongkol dengan Jho Low untuk menipu 1MDB.

Katanya, apa yang dilakukannya adalah berdasarkan arahan atasan tanpa mengetahui ada perkara cuba disembunyikan.

“Ia adalah kerana apa yang dilakukan berkaitan dengan tugas saya,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Muhammad Shafee, Amhari Efendi berkata, beliau diarahkan oleh Najib ke Abu Dhabi untuk menghadiri rundingan berhubung hutang 1MDB terhadap syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau dihantar bagi menghadiri rundingan terbabit supaya skandal hutang membabitkan IPIC tidak diketahui umum.

Sementara itu, Amhari Efendi berkata, arahan diterimanya untuk ke China pula adalah bagi menghadiri rundingan kerjasama antara Malaysia dan China untuk pemangkin ekonomi global.

Amhari Efendi juga menafikan beliau adalah pemilik syarikat Tycoon Gain Ltd.

Muhammad Shafee turut membangkitkan isu berhubung Aabar Investment PJS Ltd kepada Amhari Efendi menerusi sijil syarikat yang menunjukkan saksi itu adalah pemilik tunggal syarikat itu.

Amhari Efendi bagaimanapun menafikan perkara itu, malah turut tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee berkaitan pemilikannya ke atas ‘Aabar palsu’ itu melalui Tycoon Gain Ltd, yang juga memiliki Aerosphere Ltd.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Aerosphere Ltd disebut sebagai syarikat milik saksi yang digunakan untuk membuka akaun di Bank BSI Singapura atas arahan Jho Low.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu bahawa Aerosphere adalah milik Tycoon Gain Ltd, (dan) Aabar Investments PJS Ltd dimiliki syarikat sama. Jadi, kamu adalah pemilik Aerosphere Ltd dan juga Aabar Investments PJS Ltd?

Amhari: Saya tidak tahu perkara itu

Muhammad Shafee: Adakah dalam pengetahuan kamu bahawa Aabar PJS Ltd itu adalah palsu dan bukan anak syarikat kepada Abar Investment?

Amhari: Tidak tahu

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu bahawa (menerusi dokumen) syarikat Tycoon Gain dan Aerosphere Ltd menggunakan pejabat sama, kerana memiliki alamat sama?

Amhari: Saya setuju berdasarkan dokumen

Muhammad Shafee: Disebabkan semua di atas, kamu tidak mengemukakan sebarang maklumat mengenai ‘Aabar palsu’ daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Amhari: Tidak setuju

Muhammad Shafee: Saya cadangkan semua itu ‘ditutup’ (tidak dikemukakan) kerana untuk menutup peranan kamu dalam skandal 1MDB.

Amhari: Tidak setuju

Sementara itu, dalam keterangannya pada hari ke-10 perbicaraan, Amhari Efendi berkata, Najib tidak berkata apa-apa sejurus dimaklumkan bahawa projek antara Malaysia-China seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) adalah untuk menyelamatkan 1MDB.

“Saya ada memberitahu Najib mengenai cadangan usaha sama itu untuk membayar hutang 1MDB, tetapi tiada jawapan diberikan Najib ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Amhari Efendi bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee berhubung maklumat dibekalkan Jho Low untuk perbincangan di China pada 2016 adalah salah di sisi undang-undang.

Muhammad Shafee turut menyifatkan Amhari Efendi seorang yang ‘berwarna-warni’ kerana sentiasa mengeluarkan bermacam persepsi menerusi kata-katanya sebagai saksi pendakwaan.

Berita Harian X